Selasa, 26 Oktober 2010

LATAR BELAKANG MASALAH



Malaysia merupakan sebuah negara yang paling pesat membangun jika dibandingkan dengan negara-negara membangun yang lain. Dalam usaha mengejar arus kemodenan dan kemajuan seiring dengan cabaran globalisasi dan wawasan 2020, nilai-nilai peradaban masyarakat semakin mundur tidak sejajar dengan pembangunan ekonomi Malaysia.
Dewasa ini kita telah diterjah oleh pelbagai masalah atau kes-kes gejala sosial yang berlaku di dalam masyarakat terutamanya pada golongan remaja. Oleh kerana remaja merupakan golongan yang akan menjadi pelapis negara ini maka perkara ini tidak boleh dipandang sebagai perkara yang remeh. Pelbagai masalah-masalah sosial yang dilakukan oleh golongan ini seperti buli, gengsterisme, vandalisme, mencuri, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dadah, ganja, menghidu gam, lepak dan bermacam-macam lagi.
 Masalah ini boleh memberikan impak yang negatif kepada negara kita. Jika masalah ini semakin melarat maka ia akan memberikan satu implikasi yang negatif kepada negara dan bangsa kita.
Masalah gejala sosial ini bukan sahaja berlaku di kalangan pelajar-pelajar sekolah malah lebih menyedihkan lagi ia berlaku juga di kalangan pelajar-pelajar universiti-universiti awam atau swasta di negara kita. Ini kerana mereka adalah merupakan golongan yang bakal menjadi pemimpin dan mencorakkan negara mengikut acuan mereka sendiri. Jika beginilah sikap mereka yang sering melakukan masalah-masalah sosial, maka dikhuatiri negara kita akan dipimpin oleh golongan yang bakal merosakkan negaranya sendiri

GEJALA SOSIAL (Vandalisme)



Perlakuan dan perbuatan vandalisme atau laku musnah kebanyakannya dilakukan di tempat awam dan terhadap harta benda awam. Pelaku sengaja ingin menunjukkan bukti bahawa perbuatan mereka hebat dan hasilnya dapat dilihat orang ramai.

Tempat-tempat yang selalu menjadi mangsa laku musnah adalah perhentian bas, tandas awam, taman permainan, dinding rumah kedai, paip air, papan tanda dan pondok telefon awam. Perbuatan ini dikatakan berpunca daripada masalah rohani dan emosi pelaku yang tidak seimbang dan stabil. Di sekolah terdapat perbuatan memecahkan cermin tingkap, menconteng dinding dan merosakkan tandas.

Perbuatan vandalisme ini yang berleluasa dalam masyarakat harus dikikis. Anak-anak yang tidak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada kedua ibu bapa dikatakan cenderung melakukan kegiatan vandalisme. Keadaan ini sebagai pelarian terhadap keadaan yang dialami dalam rumah tangga kucar-kacir.

Bayangkan jika anda masuk ke tandas awam yang tidak dijaga akan dapati pelbagai tulisan, maki hamun, carutan dan lukisan porno. Begitu juga di taman permainan awam, segala alat permainan yang dikhaskan untuk kanak-kanak semuanya rosak. Rantai besi yang mengikat buaian juga boleh putus dan yang lebih hebat tempat permainan gelongsor kanak-kanak habis terbakar. Begitu juga jika ingin menggunakan telefon awam, gagang telefonnya sudah tiada.

Kajian ahli psikologi pembangunan manusia, Brewer dan Campbell, mendapati budaya vandalisme mempunyai kecenderungan iaitu apa yang berlaku di rumah (tingkah laku yang tidak baik) akan ditunjukkan di luar rumah. Cara dan gaya hidup di rumah yang tidak menghargai harta benda akan terikut-ikut dibawa keluar.

Selain itu, perasaan dendam yang tidak dapat diluahkan akan menyebabkan seseorang itu melakukan perbuatan vandalisme di luar untuk melepaskan geram dan kemarahan. Gaya hidup bebas tidak menghiraukan kepentingan orang lain menyebabkan mereka melakukan perbuatan ini.

Pendidikan disiplin dan memahami peraturan di rumah tidak berkesan. Sikap dan perlakuan tidak baik yang dilakukan kanak-kanak sejak kecil tidak dihalang dan tidak boleh melihat sesuatu perkara yang baik. Pengaruh rakan sebaya yang sering melakukan perbuatan vandalisme menyebabkan pelaku terlibat.

Ada pendapat mengatakan, pelaku vandalisme ini ada masalah mental dan keresahan dalam jiwanya. Perbuatan mereka sesetengahnya dilakukan dalam separuh sedar dan bertujuan melepaskan kemarahan. Ada juga yang melepaskan kata-kata lucah, makian dan carutan. Perbuatan ini mempunyai kaitan dengan jenayah kecil.

Menurut Marcus Tullius Cicero, keghairahan paling besar bagi mereka melakukan jenayah adalah harapan bahawa mereka akan terlepas daripada hukuman. Semua jenayah, sama ada kecil atau besar adalah penyakit dan harus dirawat seperti penyakit. Konflik dalam diri darjah tekanan dan trauma yang tinggi serta kurang kasih sayang menyebabkan seseorang itu melakukan jenayah.

Oleh itu, penawar dan penyucian jiwa sangat penting kepada pelaku vandalisme. Mereka ini wajar diberikan hukuman membaiki kerosakan yang telah dilakukan. Kesedaran dan keinsafan terhadap perbuatan sangat penting bagi menimbulkan kedamaian jiwa dan membuang sifat marah dan dendam.

Kebaikan dan ketaatan serta kesihatan jiwa akan mendekatkan diri kepada ketenangan dan kedamaian. Kesihatan jiwa akan menentukan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Perosak harta benda awam harus dihukum kerana menyusahkan orang lain yang memerlukan penggunaannya. Orang yang beradab tidak akan melakukan perbuatan biadab!

GEJALA SOSIAL (Mat Rempit)

Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan moto kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Minah Rempit pula boleh jadi merupakan seorang pelumba perempuan, atau teman wanita Mat Rempit. Walaupun kebanyakan Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Mat Rempit juga telah dikaitkan dengan kegiatan gengster, rompak berkumpulan [1][2], pergaduhan, laku musnah, kecurian dan buli. Kebanyakan motosikal yang digunakan Mat Rempit tidak memenuhi piawai, ataupun telah diubah suai dengan banyak. Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, tidak membayar cukai jalan dan menaiki motosikal curi [3][4]. Kini, taman perumahan turut telah ditukar menjadi litar lumba oleh Mat Rempit [5]. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit [6]. Istilah Mat Rempit ini turut digunakan di Singapura dan Indonesia untuk tujuan yang sama.
Mereka beraksi pada waktu senja , malam atau selepas ibu bapa pulang daripada bekerja. Remaja ini mencuri kunci motosikal atau memberi alasan membeli barang di kedai berdekatan atau pergi ke pasar malam. Ibu bapa tidak sedar anaknya boleh pergi jauh sehingga ke Kuala Lumpur.



Mereka beraksi di celah-celah kereta yang penuh sesak di Kuala Lumpur untuk mendapat perhatian orang ramai. Di Kuala Lumpur jalan yang popular ialah Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang. Lebuh raya Lekas di Semenyih yang belum siap sepenuhnya telah mengorbankan beberapa remaja belasan tahun.